PENGURUSAN tekanan emosi menjadi salah satu isu penting kepada masyarakat sekarang dan tidak mengenal sesiapa.

Kini, tekanan emosi bukan sahaja dialami oleh mereka yang hidup susah seperti orang miskin dan mengalami masalah keluarga tetapi turut dihadapi oleh golongan kaya.

Benarlah kata orang, kesan pandemik Covid-19 sangat besar sehingga menyebabkan emosi kita terganggu.

Malah, ada orang yang menghidap sakit mental kerana tekanan emosi yang terlampau.

Baru-baru ini, seorang pemuda maut dipercayai terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan pusat beli-belah.

Menurut laporan, pemuda tersebut mengalami tekanan emosi.

Pekara ini sangat serius dan perlu diatasi dengan baik agar tidak menjadi ikutan ataupun trend.

Jika kita lihat di negara Jepun, Korea dan India, kes bunuh diri akibat tekanan emosi sering terjadi dalam kalangan artis yang murung akibat tekanan kerja yang terlampau atau kecaman peminat mereka.

Kita di Malaysia agak beruntung kerana kes melibatkan bunuh diri disebabkan tekanan emosi masih terkawal, namun hal ini perlu ditangani dengan serius.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bunuh diri antara 10 punca utama kematian di dunia dan menjadi penyebab kedua kematian bagi mereka yang berusia 15 hingga 29 tahun.

Bagi setiap nyawa yang terkorban dianggarkan 20 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan.

Oleh itu, kita boleh nampak betapa seriusnya tekanan emosi.

Tekanan emosi berlaku akibat masalah yang dihadapi seperti dibuli, didera dan hilang punca pendapatan.

Lebih-lebih lagi semasa penularan Covid-19 beberapa bulan ini, kita menghadapi banyak masalah terutamanya hilang punca pendapatan.

Malah, berkurung terlalu lama dalam rumah juga boleh menyebabkan emosi kita tidak stabil dan tertekan.

Oleh itu, penyelesaian masalah emosi janganlah dipandang remeh supaya masing-masing tahu ketika berhadapan tekanan emosi.

Pertama, kita harus tahu simptom atau gejala tekanan emosi seperti murung, cepat marah, diam dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, sikap kita berubah dengan drastik sehingga menimbulkan sangsi dalam kalangan orang lain.

Kedua, kita harus segera mendapatkan rawatan profesional yang betul dan elakkan berkongsi masalah tekanan emosi di media sosial terutamanya meminta pendapat.

Kita harus berjumpa pakar kaunseling yang telah dilatih untuk menangani masalah emosi dan mereka juga boleh menjadi pendengar yang baik.

Berkongsi masalah dan tekanan emosi di media sosial bakal memburukkan keadaan lebih-lebih lagi ada segelintir orang menganggap kita sakit mental, gila, minta perhatian dan sebagainya.

Pergilah ke saluran yang betul agar diri sendiri dapat menangani tekanan emosi dengan baik.

Ketiga, eratkan hubungan dengan ahli keluarga terdekat dan dapatkan sokongan daripada mereka.

Institusi kekeluargaan sangat penting dalam menyokong individu yang tertekan kerana ahli keluarga adalah orang yang paling rapat dengan kita.

Cuba dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada pasangan, ibu bapa, adik beradik dan sahabat karib mengenai masalah kita.

Seterusnya, kita harus berusaha mengurangkan tekanan emosi walaupun kita mempunyai banyak masalah.

Jangan berputus asa melakukan sesuatu kepada diri sendiri seperti bergembira, meluangkan masa dengan keluarga, melakukan apa yang kita suka dan sebagainya sebagai langkah untuk menyelesaikan tekanan emosi.

Kita harus membantu diri sendiri dahulu sebelum meminta bantuan orang lain.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan budaya hidup yang sihat dan bebas tekanan emosi.