KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran untuk mengangkat beruang matahari sebagai spesies terlindung sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perlindungan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) Dr Wong Siew Te.

Menurutnya, beruang matahari di Sarawak merupakan spesies terlindung tetapi masih dapat diburu dengan mendapatkan lesen daripada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).

“Bagaimanapun, SFC tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen untuk memburu beruang matahari.

“Maka, perbuatan membunuh, menjual dan memakan beruang matahari adalah salah di sisi undang-undang di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar maya mengenai program pemuliharaan spesies beruang matahari di Sarawak anjuran Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF- Malaysia) semalam.

Tambah Siew Te, dalam usaha memulihara spesies beruang matahari yang dikenali sebagai jurutera hutan, keselamatan makanan amat penting.

“Sehubungan itu, saya berpendapat Taman Hidupan Liar Matang berpotensi sebagai habitat beruang matahari di Sarawak.

“Ini kerana beruang matahari perlu hidup di pedalaman hutan kerana spesies ini cenderung sesat ke kawasan manusia,” jelasnya.

Mengulas mengenai seminar maya itu, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai untuk melindungi dan memulihara hidupan liar di Sarawak.

Siew Te yang merupakan ahli ekologi di BSBCC Sandakan turut berkongsi tingkah laku beruang matahari yang diselamatkan di pusat berkenaan.

“Banyak beruang matahari yang kami selamatkan adalah mangsa kepada pembalakan haram apabila habitat mereka dimusnahkan.

“Susulan pandemik Covid19, kami turut mengalami waktu yang sukar apabila tiada pelancong datang sekali gus pendapatan pusat juga terjejas,” ujarnya.

Oleh itu, beliau memohon agar orang ramai memberi sumbangan kepada BSBCC dengan melawat lawan web www.bsbcc.org.my untuk keterangan lanjut.