BINTULU: Dua keluarga di rumah panjang, Segala Beraoh, Batu 9 Jalan Bintulu-Miri terjejas apabila dinding ruang tamu rumah mereka pecah akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Zon Bintulu, Cristus Buson berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.24 petang tadi.

“Pemeriksaan mendapati tanah runtuh berlaku daripada bukit bersebelahan dan menghentam dinding rumah setingkat terbabit mengakibatkan pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kejadian tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan jiwa.

Christus menambah pemantauan serta pemeriksaan di lokasi mendapati kediaman tersebut tidak selamat untuk didiami.

“Jarak rumah dengan bukit berkenaan adalah dalam lingkungan tiga meter dan kami menasihatkan penghuni terjejas agar tidak mendiami rumah buat sementara waktu sehingga keadaan pulih,” ujarnya.