NIAH: Sebanyak 34 masjid dan surau di Daerah Kecil Niah masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada Kerajaan Sarawak melalui Majlis Islam Sarawak (MIS), semalam.

Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, ia sebahagian daripada 195 masjid dan surau di seluruh Bahagian Miri.

“Saya berharap dana yang diterima ini dapat diguna dan disalurkan dengan cara yang betul dan baik serta bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada Masjid dan Surau Daerah Kecil Niah dan Penyerahan Kunci Rumah Pengurusan Jenazah Masjid Al Jabbar Niah semalam.

Rosey yang juga Adun Bekenu berkata, sumbangan itu sepatutnya disalurkan pada Ramadan lalu, namun disebabkan situasi pandemik Covid-19 ditunda semalam.

“Sumbangan ini amat bermakna kepada masyarakat Islam yang diagihkan melalui masjid dan surau kerana ia mencermin kan keprihatinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memberi fokus kepada kebajikan umat Islam di negeri ini,” jelasnya.

Malah tambah Rosey, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan sebanyak RM99,000 untuk menyiapkan sebuah rumah khas untuk pengurusan jenazah umat Islam di Masjid AlJabbar.

“Projek ini telah disiapkan pada Jun 2020 dan saya berharap agar kemudahan ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau menjelaskan, rakyat Sarawak tidak mempunyai masalah dari sudut agama malah Kerajaan Sarawak mempunyai inisiatif untuk membantu semua agama selain Islam, bantuan turut diagihkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor).

“Tahun ini, kerajaan GPS telah memberikan RM50 juta untuk badan-badan agama bukan Islam.

“Malah Sarawak juga dikenali sebagai negeri contoh dalam negara kita dari segi keharmonian agama dan perpaduan rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap masyarakat di Miri dapat menunjukkan sifat hormat-menghormati yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Kita lihat paparan media seperti yang telah berlaku kepada sesetengah negara yang sedang bergolak, bersengketa sesama sendiri, orang awam, masjid bahkan sekolah dan hospital menjadi sasaran, kemusnahan bangunan dan harta benda.

“Semua ini menyebabkan kemusnahan kepada negara dan penderitaan kepada rakyat. “Semua ini berlaku kerana dendam dan kebencian antara satu sama lain,” tegasnya. Turut hadir ialah Pegawai Agama Islam Bahagian Miri, Awang Nib Zuhaii Awang Ahmad dan Ketua Tabung Baitumal Sarawak Cawangan Miri Marini Juraibi.