KUALA LUMPUR:  Sebelum kemunculan COVID-19, umumnya orang ramai telahpun membiasakan diri dengan idea apakah itu kehidupan bekerja – struktur dan sistem yang lengkap telah tersedia khususnya di tempat kerja, dan pekerja mesti hadir secara fizikal ke pejabat pada waktu yang ditetapkan bagi menyempurnakan tugasan masing-masing.

Terdapat perbezaan yang jelas antara kehidupan bekerja dan kehidupan peribadi tetapi pandemik dan sekatan pergerakan telah mengaburkan garis pemisah ini dan secara radikal telah mengubah gaya kerja ‘’biasa/normal’ dalam banyak bidang, demikian menurut Rajesh Mishra, ketua HCM Apps, Oracle Malaysia.

Walaupun petugas barisan hadapan dalam sektor perubatan dan perkhidmatan penting lain seperti pengangkutan, makanan dan runcit meneruskan operasi mereka secara fizikal, bekerja dari rumah kini menjadi satu-satu pilihan bagi banyak pihak untuk memastikan kelangsungan operasi dan perkhidmatan dalam pelbagai sektor termasuk perbankan dan kewangan.

Ini adalah antara cara untuk mengurangkan hubungan fizikal manusia dan penularan virus itu.

Bagi sesetengah orang, peralihan kepada bekerja dari rumah berjalan lancar tetapi bagi yang lain pula, banyak cabaran perlu dihadapi, antaranya tertekan kerana tidak dapat membezakan antara kehidupan kerja dan kehidupan peribadi, kata beliau.

Menurut hasil kaji selidik ‘Oracle AI at Work’, Rajesh berkata 70 peratus yang ditinjau percaya tahun 2020 adalah tahun paling tertekan yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan pandemik itu telah memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental 78 peratus daripada tenaga kerja dunia.

Sebilangan besar daripada mereka berkata isu kesihatan di tempat kerja memberi kesan negatif kepada kehidupan rumah tangga seperti tidak cukup tidur, kesihatan fizikal yang lemah dan mengganggu hubungan keluarga.

Rajesh berkata ramai pekerja turut menyatakan Kecerdasan Buatan (AI) telah membantu kesihatan mental mereka di tempat kerja dengan memberikan maklumat yang diperlukan untuk pekerjaan mereka, mengautomasikan tugasan dan dalam proses itu membantu mengurangkan tekanan.

Syarikat-syarikat berada dalam kedudukan untuk membantu melindungi kesihatan mental tenaga kerja masing-masing kerana ramai yang bekerja secara terpencil/sendiri terus berusaha untuk menyeimbangkan antara tuntutan profesional dan domestik. Contohnya, keluarga dengan anak kecil yang berhadapan dengan tekanan yang tinggi ketika menjalankan pekerjaan di rumah.

Tidak dinafikan pandemik COVID-19 telah meningkatkan taktik kelangsungan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dengan penggunaan optimum teknologi internet dan penambahbaikan kemahiran pekerja.

Namun, bekerja dari rumah ialah normal baharu dan oleh itu, banyak yang boleh dilakukan lagi agar ia dapat diguna pakai dengan lebih berhati-hati seterusnya mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan prestasi, katanya.

Merujuk kepada pelbagai penyelesaian yang digunakan syarikat bagi membantu pekerja masing-masing mengatasi tekanan bekerja dari rumah, sama ada mesyuarat pemasaran atau berkongsi fail dan data, Rajesh berkata beberapa penyelesaian utama AI yang ditawarkan oleh Oracle termasuklah “chatbot’dan “Oracle Digital Assistant”.– BERNAMA