KUCHING: Tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kes positif kekal 1,062.

Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata tiada penambahan kluster dilaporkan namun terdapat enam kluster yang masih aktif iaitu Kluster Baki, Kluster Besi, Kluster Greenhill, Kluster Jalan Abell, Kluster Seladah dan Kluster Wisma Saberkas.

Pada masa sama, katanya tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

“Jumlah kes yang telah pulih kekal seramai 1,020 orang daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

“Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 23 orang iaitu 20 kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak (HUS), dua kes di Hospital Sibu dan satu kes di Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara, Daerah Kuching dan Miri kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 15 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Kuching (12) dan Miri (3) manakala 38 daerah lain kekal berstatus hijau.