MUKAH: Sebanyak 20 pelukis tempatan dan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang menghabiskan masa selama tiga minggu untuk menyiapkan lukisan mural di tapak Kala Dana Mukah.

Lukisan tersebut banyak mengetengahkan budaya, tradisi, warisan dan mesej positif kepada masyarakat, sekali gus menjadikan Tapak Kaul Kala Dana Mukah kini berwajah baharu dengan lukisan mural menarik ini.

Difahamkan lukisan mural tersebut merupakan antara lukisan yang terendah dan terpanjang yang pernah dihasilkan iaitu sepanjang 331.1 meter.

Malah kepanjangan lukisan mural tersebut menyamai lukisan yang pernah dihasilkan di Penjara Pudu di Kuala Lumpur sekitar 1983 namun telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan pada 2010.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Mukah Rosli Sopok ketika ditemui menjelaskan, idea projek berkenaan tercetus hasil perbincangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib sebelum ini dengan Pertubuhan Impian Mukah untuk mengindahkan lagi mural tapak Kala Dana tersebut.

“Untuk meneruskan idea ini, segala pembiayaan adalah daripada peruntukan peribadi beliau untuk menceriakan lagi kawasan ini.

“Mudah-mudahan masyarakat setempat dapat memeliharanya dengan penuh disiplin untuk menarik pelancong dari luar Mukah, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua pelukis,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.