KUCHING: Penggunaan komputer Raspberry Pi bagi semua sekolah rendah di Sarawak adalah untuk mempersiapkan generasi baharu ke arah dunia digital yang sentiasa berubah.

Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan berkata, anak-anak harus didorong untuk meneroka semua alat teknologi dan kemahiran baharu, tanpa membataskan mereka dengan alat yang dianggap popular masa kini.

“Kerajaan Sarawak membeli Raspberry Pi itu untuk membantu pelajar sekolah rendah dalam pembelajaran maya mereka.

“Malah, Kementerian Pendidikan juga tidak menyatakan pelajar akan berhenti belajar menggunakan Windows atau Microsoft Office setelah melakukan penambahan menggunakan komputer Raspberry Pi nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Teck Wan, komputer itu direka khas untuk kanak-kanak kecil yang berminat untuk membuat laman web.

Jelasnya, kelebihan komputer berkenaan terletak pada kos yang rendah dan banyak pilihan projek secara terbuka seperti muat turun, membina laman web, permainan video, robot dan projek percetakan 3D untuk kanak-kanak.

“Pi4 akan menambahkan keseronokan murid dalam meneroka pembelajaran sains dan teknologi,” ujar Teck Wan. Teck Wan turut menegaskan bahawa sokongan dari segi kos penyelenggaraan, penghantaran, latihan dan perisian komputer telah dimasukkan dalam harga pembelian komputer berkenaan.

“Kita tidak seharusnya berbalah mengenai peranti yang digunakan untuk membantu generasi ini, tetapi fokus kepada keberkesanan sukatan pelajaran Stem dalam mendorong pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
“Saya ingin melihat bagaimana guru Stem dapat memanfaatkan sepenuhnya fleksibiliti Pi4 dalam membuat program dan projek komputer yang menyeronokan murid sekolah rendah itu nanti,” katanya lagi.