SARIKEI: Program komuniti anjuran Kelab Lions bukan sahaja menjadi platform perpaduan tetapi juga membawa impak positif kepada penduduk setempat.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pelbagai elemen yang menjadi inti pati program seperti modal insan, kesukarelaan dan tanggungjawab sosial memenuhi aspirasi komuniti pada masa kini.

Beliau opitimis, program seumpama itu membawa satu gelombang baharu kepada strategi untuk membangunkan masyarakat khususnya di kawasan Repok.

“Program ini membawa banyak manfaat kepada rakyat kerana penganjur bukan hanya menyumbang pelitup muka tetapi juga pembersih tangan, makanan untuk keluarga yang berpendapatan rendah dan lain-lain.

“Malah melalui acara pertandingan melukis, kita dapat mencungkil bakat anakanak muda,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kelab Lions di Rumah Mawas, Bayong, semalam.

Beliau berkata, perpaduan penduduk pelbagai kaum di negeri ini wajar dipertahankan bagi memastikan kelangsungan pembangunan dapat diteruskan oleh kerajaan.

Katanya, setiap individu jangan terpengaruh dengan helah pihak tidak bertanggungjawab yang hanya bertujuan memecahbelahkan mereka.

“Kita perlu menjunjung lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas penyatuan dan identiti diri sebagai rakyat Malaysia di samping terus memupuk persefahaman dan perpaduan,” katanya.