KUCHING: Projek kereta kabel Santubong yang ditangguhkan selama lebih satu dekad harus dilaksanakan, tetapi mesti dibiayai oleh sektor swasta sambil disokong oleh Kerajaan Sarawak, kata pakar pelancongan, YS Chan.

Menurutnya, projek tersebut perlu dilaksanakan oleh sebuah syarikat besar atau mempunyai reputasi dengan sumber kewangan yang besar.

“Ini supaya sebuah konsortium dapat dibentuk dan kemudian dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka sendiri seperti penginapan, makanan dan minuman, peruncitan produk pelancongan – hasil tempatan, barangan cenderahati dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi New Sarawak Tribune, baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain pada 27 November lalu berkaitan kajian terkini SEDC mengenai cadangan untuk melihat sama ada projek kereta kabel itu dapat dilaksanakan bagi menarik orang ramai ke Damai.

“Sekarang merupakan waktu yang sesuai untuk merancang dan membina kerana kos masih lagi rendah dan ia akan siap sepenuhnya selepas ekonomi dunia dan sektor pelancongan pulih dalam beberapa tahun akan datang.

“Bagaimanapun, kesemua projek perlu mempunyai kelulusan daripada Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) agar tiada kesan terhadap taman negara dan masyarakat setempat,” jelasnya.

Beliau menegaskan, tiada bangunan hotel atau restoran seharusnya dibina di puncak gunung, tetapi hanya menyediakan kemudahan tandas dan bangunan pemerhati agar pengunjung dapat menikmati keindahan di puncak gunung, sekurang-kurangnya dalam tempoh lima minit.

“Suatu ketika dahulu, kerajaan menggunakan hutan, gunung, air terjun untuk menarik sektor pelancongan, tetapi ia hanya untuk aktiviti riadah dengan kawasan berkenaan bertukar menjadi tapak pembuangan sampah oleh pengunjung.

“Pelancongan merupakan perniagaan dan ia harus menguntungkan untuk menjadikannya lestari. Sementara itu, syarikat yang berkaitan perlu bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, kawasan Damai perlukan penjenamaan semula dengan aktiviti lasak seperti laluan basikal boleh dibina di luar taman negara, dan ini kemudiannya akan dapat menjadi taman tema luar seperti Escape Penang di Pulau Pinang.