BEKENU: Pasar Malam Tamu Kampung Peliau, Bungai yang bertemakan landskap klasik dan asli – dibina daripada buluh dan kayu mampu menjadi tarikan terbaharu kawasan Dun Bekenu.

Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, ia merupakan keunikan pasar malam pertama dalam kampung di kawasan itu.

“Saya melihat sambutan sangat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 pelawat.

Ini merupakan pasar malam dalam kampung yang diadakan sebulan sekali,” katanya ketika merasmikan Pasar Malam Tamu Kampung Peliau, Bungai, malam kelmarin.

Adun Bekenu itu berkata, semua gerai dalam pasar malam berkenaan diperbuat daripada buluh dan kayu untuk mengimbau nostalgia dalam kampung.

“Berbanding pasar malam lain yang diperbuat daripada konkrit, pasar malam tamu Peliau ini mengetengahkan konsep asli dan klasik yang mampu menjadi tarikan baharu,” ujarnya.

Rosey Yunus memberitahu, jika konsep itu berjaya menarik pelancong luar dan dalam negara, maka operasi Pasar Tamu Peliau itu akan diteruskan dua kali sebulan.

“Kita bukan hanya menyasarkan kedatangan orang tempatan tetapi juga tetamu luar dari Sabah, Labuan dan Brunei Darussalam dan penjaja perlu belajar menerima tetamu,” jelasnya.

Tambah Rosey lagi, dengan peruntukan awal sebanyak RM30,000, projek tamu terbabit berjaya dilaksanakan bahkan ada tambahan RM25,000 bagi menambah jumlah gerai.

Beliau juga menghargai sumbangan idea, kreativiti dan promosi serta peranan jawatankuasa pasar malam berkenaan yang terdiri daripada belia.

“Kita mempunyai produk pelancongan iaitu Pantai Bungai yang cantik dan bersih.

Dengan penambahan aktiviti pasar malam ini, ia akan merancakkan lagi ekonomi penduduk kampung,” ujarnya.

Di samping itu, beliau juga menggesa masyarakat supaya mengambil peluang dalam bidang perniagaan kecil-kecilan serta memasarkan produk tempatan kepada luar.

“Kita juga boleh mencadangkan aktiviti pasar malam dalam kampung ini dimasukkan dalam kalender pelancongan bagi merancakkan lagi industri pelancongan domestik.

“Kami sudah bersedia menyambut kedatangan mereka,” katanya.

Rosey Yunus berharap semua peniaga kecil atau penjaja di kawasan berkenaan bersama-sama menjaga kebersihan tamu dan Pantai Bungai.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Subis Kaunselor Annuar; wakil Setiausaha Majlis Daerah Subis Selija Rahman Sapaiee dan Pengerusi Jawatankuasa Tamu Peliau Abdul Mohd Mizam Sanai Mat turut hadir.