KUCHING: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus membuat risikan dan pemantauan ke atas kegiatan pengedaran ketum di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata ia berikutan wujud kegiatan pengedaran ketum dengan bekalan dipercayai diperolehi dari Semenanjung Malaysia.

“Polis sentiasa mendapatkan maklumat dan melaksanakan operasi ke atas apa-apa maklumat semua jenis dadah termasuk ketum yang terdapat atau dikesan masuk ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada bulan lalu, pasukan JSJN telah merampas sebanyak 21 kotak mengandungi daun ketum seberat 41.9 kilogram pada Oktober lalu, yang dikirim daripada Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam tempoh seminggu pemantauan dibuat di pejabat Pos Laju berkenaan, tiada sesiapa yang datang menuntutnya.

“Daun ketum ini dikirim dari Semenanjung Malaysia menggunakan nama dan alamat yang tidak wujud atau palsu,” katanya.

Aidi menambah tangkapan ketum juga telah dibuat pada Ogos lalu, membabitkan dua lelaki tempatan di kawasan Matang kerana memiliki 10 botol air ketum.

Namun demikian, beliau berkata setakat ini, belum dikenal pasti mana-mana daerah di Sarawak yang ada menanam pokok ketum.

“Pihak narkotik akan terus membuat risikan dan pemantauan ke atas segala maklumat yang diperolehi,” katanya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam sidang media baru-baru ini berkata daun ketum menjadi bahan terlarang tertinggi yang dirampas di Sarawak pada bulan lepas.

Menurutnya, daripada jumlah 20.13 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dirampas oleh polis dan kastam, sebanyak 15kg adalah daun ketum manakala 3kg adalah ganja, 304 gram syabu/ methamphetamine, 278 gram ketamin dan 1.5kg serbuk ekstasi.