KUCHING: Sebuah Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu akan dibina di Petrajaya dengan anggaran kos sebanyak RM13.2 juta pada awal Febuari 2021.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak itu dijadual siap dalam tempoh 15 bulan.

“Dengan kelulusan kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN), penantian Persekutuan Wushu Sarawak(PWS) untuk mempunyai kompleks sukan akhirnya tercapai.

“Kompleks ini juga sebagai penghargaan untuk pengiat sukan Wushu setelah banyak menyumbang pingat kepada negeri dalam Sukma termasuklah pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu di Petrajaya, hari ini.

Tambah Karim, PWS layak untuk diberikan tempat yang selesa untuk latihan persiapan atlet kerana persekutuan itu sentiasa komited dan berdedikasi dalam membangunkan atlet yang terbaik.

“Kompleks itu nanti akan dilengkapi dengan fasiliti moden untuk kegunaan atlet, jurulatih dan pihak pengurusan,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Presiden PWS Allen Wong dan timbalannya James Ting.