MULU: Parti PBB Mulu kini dalam proses menubuhkan ranting ke-12 untuk menampung ahlinya yang semakin meningkat, kata Adun Mulu Datuk Gerawat Gala.

Menurutnya, PBB Mulu kini mempunyai 11 ranting dengan ahli yang berdaftar seramai 4,659 orang iaitu hanya kurang 50 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Mulu yang berjumlah 9.442.

“Kita sedang dalam proses menubuhkan ranting ke-12 iaitu ranting Seridan dan beberapa lagi,” katanya dalam catatan di Facebooknya baru-baru ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan keahlian kepada 192 ahli baharu PBB dari Ranting Poyut Lubok Nibong satu dan dua serta Ranting Tutoh di Dewan Suarah, Marudi.

“Kami bangga dan akan menjadikan parti PBB sebagai parti politik yang sangat kuat dan stabil.

“PBB membentuk tulang belakang parti kerajaan di Sarawak sejak sekian lama selepas era Barisan Nasional (BN) hingga sekarang di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujarnya.

Katanya, kekuatan dan kestabilan PBB disebabkan oleh budaya dan prinsip politiknya yang sudah lama wujud termasuk kesetiaan dan kepercayaan terhadap perjuangan parti seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Walaupun PBB mempunyai majoriti dalam badan perundangan negeri, mereka tetap setia kepada rakan gabungannya iaitu SUPP, PRS dan PDP. “Itulah sebabnya kita membentuk GPS untuk merangkumi semua rakan setia kami,” katanya lagi.