KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan akan meneruskan kertas kerja cadangan untuk membina atau menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Laut sebagai sebuah sekolah sukan pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kertas kerja tersebut masih dalam proses kerana ia melibatkan banyak perkara.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan kertas cadangan tersebut kerana kelebihan sekolah itu nanti adalah ia mempunyai kemudahan sukan yang lengkap serta berdekatan dengan Kompleks Sukan Sarawak.

“Tambahan pula, Sarawak bakal mempunyai Kampung Sukan yang akan menyediakan penginapan untuk atlet-atlet,” katanya pada satu sidang media semasa mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu di Petrajaya, hari ini.

Menurut Karim, kementeriannya akan membawa kertas cadangan tersebut kepada kabinet negeri bagi mendapatkan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sekiranya kertas cadangan tersebut diterima dan diluluskan, saya yakin ia tidak melibatkan kos yang tinggi kerana Sarawak telah dilengkapi dengan fasiliti sukan,” ujarnya.