BETONG: Belanjawan 2021 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai titik mula kematangan politik negara, kata Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat.

Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendapat sokongan majoriti tanpa undi.

“Semua kita melihat bahawa Belanjawan 2021 lulus melalui pengesahan bersuara.

“Justeru, pandangan saya tertumpu kepada kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang yang kini menyedari betapa pentingnya memastikan belanjawan itu diluluskan.

“Ini memandangkan keadaan negara yang sedang dilanda pandemik Covid-19,” katanya ditanya, semalam.

Jelasnya lagi, senario tersebut jelas mencerminkan kesedaran pembangkang untuk tidak bermain sentimen politik walaupun majoriti tipis daripada pihak kerajaan

“Selain itu, menunjukkan sokongan majoriti terhadap keinginan Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah agar Belanjawan 2021 diluluskan.

“Pada masa yang sama, untuk terus mengelakkan politik tidak sihat di negara yang tercinta ini,” ujarnya.

Tambah Robert, Belanjawan 2021 amat memberangsangkan, holistik dan mengutamakan kesejahteraan rakyat terutama dalam masa pandemik Covid19.

“Jelas bahawa pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan tetap diperhalusi mengikut kehendak rakyat.

“Bantuan dan insentif pasti dapat membantu meringankan beban rakyat contohnya melalui sektor terkesan seperti pertanian, pembangunan industri serta pelancongan.

“Bantuan dari segi elaun kesihatan, kebajikan dan komuniti setempat juga amat dialu alukan,” jelasnya.