Bangkok siap sedia  lakukan rali besar-besaran

BANGKOK: Bandar raya Bangkok dipenuhi orang ramai yang terlibat dalam tiga rali antikerajaan dan situasi ini dipantau oleh lebih 5,000 anggota polis bagi memastikan ia berjalan aman dan tiada insiden keganasan tercetus.

Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dan permaisurinya di jangka merasmikan sambungan Blue Line di stesen Sanam Chai pada 5 petang Sabtu.

Sempena majlis ini stesen Sam Yot dan Sanam Chai ditutup dari 6 pagi, dan hentian antara Sam Yot dan stesen terminal di Lak Song ditutup dari 4 petang.

Kedua-dua stesen ini bagaimanapun dibuka semula selepas majlis perasmian itu selesai. Rakyat jelata beratur di sepanjang jalan menuju ke stesen itu sebagai menyambut kedatangan Raja dan Permaisuri mereka.

Memetik media Brudirect, tiga rali antikerajaan yang dijadual berlangsung ialah “Mob Fest”, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan penyokong prodemokrasi.

Tunjuk perasaan kedua adalah dari pertubuhan Free Women yang mengadakan rali itu di Tugu Peringatan 14 Oktober menuntut kerajaan menangani isu jantina.

Tunjuk perasaan ketiga dianjurkan oleh kumpulan Bad Students yang mengumumkan mereka melancarkan tunjuk perasaan di luar bangunan Kementerian Pendidikan di Ratchadamnoen Avenue.

Kumpulan ini mendapat keizinan dari balai polis Chana Songkhram untuk berkumpul di depan bangunan tersebut menuntut Perdana Menteri, Prayut Chan-ocha meletak jawatan ekoran kualiti pendidikan yang begitu teruk di negara itu.

Mereka juga mendesak Menteri Pendidikan Nataphol Teepsuwan, dipecat kerana kegagalannya meningkatkan tahap pendidikan. Mereka juga mahu pelajar diberi hak untuk bersuara.

Timbalan Ketua Biro Polis Metropolitan, Pol Maj Gen Piya Tawichai, memberitahu sekitar 5,000 polis dikerah ke lokasi tunjuk perasaan untuk memantau keadaan.

Menurutnya jika tunjuk perasaan diadakan dengan aman, mereka tidak akan menggunakan senjata atau meriam air, namun jika ia bertukar ganas mereka akan melakukan kaedah terbaik untuk mengawalnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak