Bangunkan ekopelancongan di Bau

KUCHING: Tarikan pelancongan semula jadi di daerah Bau akan dibangunkan untuk menjadikan ia sebagai sebuah kawasan ekopelancongan yang efektif dan berjaya.

Sehubungan itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata kementeriannya kini sedang mempromosikan kawasan pelancongan domestik baharu di Tasik Biru.

“Usaha ini turut melibatkan kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri pelancongan, institusi akademik, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep mengenai rancangan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan tarikan pelancongan domestik di kawasan baharu di Tasik Biru pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Menurut Sebastian, ekopelancongan merupakan salah satu daripada pasaran dalam pelancongan yang semakin terkenal susulan daripada pelancong yang semakin sedar akan kepentingan alam semula jadi.

Sehubungan itu, katanya Sarawak yang kaya dengan kehijauan alam semula jadi perlu memanfaatkan permintaan pelancongan itu yang meningkat dengan memperkenalkan produk ekopelancongan baharu selain memulihara dan memelihara tarikan yang ada.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak