Bantu rakyat selamatkan pekerjaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat supaya pekerjaan mereka tidak terjejas dalam keadaan penularan Covid-19, kata Menteri Muda Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip.

Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai program telah digubal untuk memastikan keselamatan pekerjaan terutamanya untuk siswazah yang menganggur.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan pekerja tempatan dalam membuka peluang pekerjaan di setiap peringkat dan sektor.

“Syarikat dan perusahaan yang beroperasi di Sarawak dikehendaki memberi keutamaan kepada rakyat tempatan yang layak untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

“Bagi syarikat yang ingin mengambil pekerja asing, mereka perlu mengutamakan rakyat tempatan melalui iklan di surat khabar atau portal kerjaya.

“Sekiranya tiada sambutan daripada rakyat tempatan, barulah syarikat berkenaan dibenarkan untuk mengambil pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo mengenai usaha Kerajaan Sarawak membantu mengekalkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak yang mempunyai kepakaran tertentu sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak