Belajar dari sejarah, banyak perubahan boleh runtuhkan kerajaan

BETONG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar diberi mandat untuk memerintah negeri ini semula kerana mempunyai pemimpin yang sangat berpengalaman dan berkaliber, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Beberapa orang mengatakan bahawa kita mesti mempunyai pemimpin dan kerajaan baharu.

“Kita mesti belajar daripada sejarah ketika di bawah Kerajaan PH, terdapat banyak perubahan dan pusingan U pelik yang akhirnya menyebabkan keruntuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jerayawara GPS Bukit Saban serta melancarkan Cawangan PBB Brutan Ulu di Rumah Hendary Jawan di Serudit Atas, di sini pada Sabtu.

Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata, pemimpin Parti PBB di peringkat akar umbi mesti mengetahui pelbagai dasar pembangunan kerajaan yang digubal untuk kepentingan rakyat.

Dengan pengetahuan itu katanya, pemimpin Wanita, Bapa dan Pemuda dapat menyebarkannya kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar. “Semua pemimpin parti mesti bersikap proaktif mencari jalan untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui program dan aktiviti menjana pendapatan.

“Kerajaan GPS telah melaksanakan banyak inisiatif terutama dalam sektor pertanian untuk membantu petani terlibat dengan sistem pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik. “Masyarakat Dayak di luar bandar juga boleh terlibat dalam ternakan seperti babi yang permintaannya tinggi terutama di Singapura,” katanya.

Suara Sarawak