Berikan jawatan tetap kepada doktor dari Sarawak – Ding Koung Hiing

KUCHING: Tuntutan kuasa autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan kesihatan harus dilakukan demi memastikan anak Sarawak yang menjadi pegawai perubatan (doktor) diberikan kuota yang secukupnya untuk jawatan tetap di hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

Adun Meradong Datuk Ding Koung Hiing berkata, sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan tetap di hospital-hospital di Sarawak harus disediakan untuk doktor dari Sarawak yang berkhidmat secara kontrak.

“Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, pada Mei lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan 100 jawatan tetap di hospital Sarawak dan difahamkan hanya 10 peratus diberikan kepada doktor dalam kalangan anak Sarawak.

“Kemudian September, 150 lagi jawatan tetap diwujudkan dan kali ini sebanyak 66 orang atau 44 peratus jawatan tetap diperuntukkan kepada doktor dari Sarawak sedangkan masih terdapat 200 jawatan tetap di hospital Sarawak.

“Dilema doktor dari Sarawak ini menunjukkan Kerajaan Sarawak harus menuntut kembali autonomi perkara berkaitan kesihatan dan pendidikan sebagaimana yang ditetapkan di bawah MA63,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dun, hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak