Buka lebih banyak peluang kerja

KUCHING: Cadangan untuk mewujudkan Agensi Pembangunan Wilayah Selatan (SRDA) di kawasan Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut telah mendapat sokongan ketiga-tiga Adun berkenaan.

Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, cadangan itu amat sesuai sejajar dengan kedudukan tiga kawasan ini yang menjadi tumpuan dalam sektor pelancongan.

“Kami bertiga telah berbincang untuk mengaktifkan cadangan tersebut dalam bentuk yang komprehensif dan teratur.

“Sekiranya ia dapat diwujudkan, secara tidak langsung agensi ini melengkapi semua kawasan di seluruh Sarawak,” katanya pada sidang media di Dun kelmarin.

Menurutnya, penubuhan agensi itu dapat meningkatkan sektor ekonomi dalam industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

Jelas beliau, usaha itu tidak menumpukan semua perkara pada peringkat awal malah, hanya memfokuskan pembangunan sektor pelancongan di tiga kawasan itu.

Sementara itu, Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu menyifatkan usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan industri pelancongan malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Ujar beliau, penubuhannya bagi zon selatan tepat memandangkan agensi itu telah ditubuhkan di kawasan lain.

“Di Tanjung Datu, terdapat banyak kawasan yang menarik untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

“Dengan adanya agensi ini, kita dapat meminta peruntukan untuk membangunkan kawasan yang ditumpukan bagi meningkatkan prasarana dan aktiviti yang ingin dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni telah mencadangkan penubuhan SRDA bagi membangunkan industri pelancongan di kawasan pesisir Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut dalam Persidangan Dun.

Menurut beliau, kawasan itu akan meliputi seluruh kawasan pesisiran pantai dari Telok Melano hingga ke Santubong, Telaga Air, Bako, Muara Tebas dan Tanjong Embang untuk dibangunkan secara sistematik dan terancang.

Suara Sarawak