Data raya urus hutan

MIRI: Pemain industri hutan perlu saling berkongsi maklumat yang diperoleh untuk bersama-sama membangunkan industri hutan di negeri ini, bukannya menyimpan maklumat untuk diri sendiri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia bagi membolehkan industri hutan Sarawak dapat bersaing dengan pemain industri luar negara seperti Vietnam, Indonesia, China dan sebagainya.

“Saya tahu syarikat besar seperti Samling dan beberapa syarikat lain mempunyai aktiviti mereka sendiri dan segelintir daripadanya sangat maju.

“Namun sayangnya, mereka tidak bersedia berkongsi data penting bagi kemajuan pembangunan hutan industri di Sarawak.

“Mereka bekerja dalam keadaan silo,” katanya ketika merasmikan Seminar Perindustrian Perladangan Hutan di Sarawak di Hotel Pullman di sini, semalam.

Silo ialah sikap enggan berkongsi maklumat atau pengetahuan dengan individu lain.

“Ini mungkin disebabkan mentaliti yang ingin bersaing dalam kalangan pemegang lesen menanam hutan (LPF).

“Setiap maklumat seperti penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sangat penting untuk kemajuan Sarawak.

“Ia dalam menghasilkan kayu serta produk yang lebih berkualiti serta meningkatkan produktiviti ladang hutan,” katanya.

Beliau berkata, pemain industri perlu melabur dalam R&D jika ingin memiliki kelestarian dan keuntungan dalam industri hutan.

“Pembangunan perladangan yang agresif hanya dapat dilakukan jika terdapat kajian saintifik dan boleh dipercayai,” katanya.

Kata Abang Johari, untuk penyelidikan, individu itu tidak dapat bekerja sendiri. “Kerjasama dan perkongsian pengetahuan sama penting untuk membuahkan hasil yang menguntungkan,” katanya.

Menurutnya, Sarawak memerlukan pusat penyelidikan peringkat antarabangsa yang lebih maju untuk meningkatkan dan membawa yang terbaik selain Badan Peringkat Nasional seperti Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

“Menurut Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), teknik penyebaran vegetatif yang lebih baik dan pemilihan pokok dengan penanda membantu meningkatkan kualiti hutan yang ditanam.

“Semua ini dapat dilakukan melalui penyelidikan dan pengembangan yang intensif.

“Agensi kerajaan seperti Jabatan Hutan sedia membantu dan memudahkan perkongsian maklumat serta berperanan sebagai jambatan antara institusi penyelidikan dengan pemain industri.

“Penyelidikan industri hutan satu usaha jangka panjang dan berlanjutan.

“Justeru komitmen daripada jabatan dan pemegang LPF sangat penting,” jelas beliau. Abang Johari memberitahu, komitmen bermaksud bekerjasama dalam penyediaan dana dan sumber yang mencukupi, perkongsian maklumat serta data mendapatkan hasil yang diinginkan.

“Mungkin ini masa tepat untuk memiliki data raya dalam menguruskan perladangan hutan di Sarawak.

“Saya orang yang percaya kepada data raya. Jabatan Hutan akan menjadi penjaga data raya ini.

“Ia akan memudahkan perkongsian maklumat dalam industri,” ujarnya.

Suara Sarawak