Dr. Nuing Jeluing dipilih semula sebagai Senator

KUCHING: Dr. Nuing Jeluing telah dipilih semula tanpa bertanding sebagai Senator Dewan Negara selama tiga tahun lagi.

Pemilihan semula Ahli Majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini memandangkan penggalnya akan tamat pada 10 Disember tahun ini.

Pencalonan Nuing dibuat oleh Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan disokong oleh Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurut Rundi yang juga Adun Kemena, Nuing telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai Senator dengan penuh dedikasi selain aktif dalam persidangan Dewan Negara.

“Saya yakin dengan pengalamannya yang luas, jika dipilih semula, Nuing akan terus maju dan menjaga kepentingan rakyat Sarawak di Dewan Negara.

“Dengan itu, saya ingin mencadangkan Nuing dipilih semula oleh DUN sebagai Senator untuk penggal seterusnya,” katanya.

Nuing dipilih sebagai Senator pada 11 Disember 2017 dan akan tamat penggal pada 10 Disember tahun ini.

Dengan dipilih semula, tempoh perkhidmatannya akan disambung dari 11 Disember tahun ini sehingga 10 Disember 2023.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak