Empat tapak pembinaan di Sarawak ditutup, gagal patuh SOP

KUCHING: Sebanyak empat tapak pembinaan di Sarawak tidak dibenarkan beroperasi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Setakat 18 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata manakala sejumlah 739 tapak pembinaan di negeri ini dibenarkan beroperasi.

“Dalam tempoh yang sama, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melaksanakan
pemeriksaan pematuhan SOP Covid-19 di 7,704 tapak bina di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi mengenai jumlah terkini tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

“Laporan pemeriksaan menunjukkan sebanyak 6,923 tapak pembinaan mematuhi SOP Covid-19 dan dibenarkan beroperasi.

“Sementara sejumlah 781 tapak pembinaan tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak mematuhi SOP tersebut,” ujarnya.

Suara Sarawak