Pembentangan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 ditangguh

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) memutuskan untuk menangguh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2020 ke satu tarikh baharu.

Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ini kerana terdapat kejanggalan (anomali) dalam penggubalan pindaan RUU tersebut.

“Ia jelas anomali, definisi harus diberi perhatian dalam soal tafsiran kerana rang undang-undang ini merujuk kepada Seksyen 71 Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 71 seterusnya merujuk kepada Seksyen 66.

“Memandangkan terdapat anomali, penjelasan serta definisi perlu dibuat.

“Sehubungan itu, saya menangguhkan pembentangan RUU dan ia kekal ditunda sehingga satu tarikh baharu yang akan ditentukan nanti,” katanya pada Persidangan Dun di sini, hari ini.

RUU ini telah dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Rahman Hamzah untuk meminda Artikel 16 Perlembagaan Negeri bagi menurunkan kelayakan umur rakyat Sarawak yang dipilih sebagai Adun dari 21 kepada 18 tahun agar selaras dengan Seksyen 5 Bahagian 1 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan (FC) yang dipinda.

Sementara pindaan lain adalah untuk perkataan “Penduduk Negeri” di bawah Artikel 16 Perlembagaan Negeri yang perlu didefinisikan dan dijelaskan kerana peruntukan semasa tidak jelas mengenai makna perkataan “Penduduk di Negeri”.

RUU tersebut telah dibantah dalam sesi perbahasan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen dan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak