Hanya takdir pisahkan kami

LINGGA: “Kudrat masih ada. Saya akan tetap menjaganya sehingga tiba waktu takdir memisahkan kami,” kata Ji Che Kiang, 72.

Warga emas itu tekun menemani isterinya, Chin Mui Jun, 73, yang terbaring di kerusi ketika ditemui Suara Sarawak di dalam sebuah kedai lama berusia lebih 100 tahun di Pekan Lingga.

Melihat keadaan kediamannya saja sudah cukup menyayat hati.

Kebanyakan kayu sudah reput, bangunan condong dan lantai rumah tidak beralas yang boleh dimasuki binatang berbisa.

Menurut Chee Kiang, isterinya terlantar di kerusi tersebut selepas menghidap penyakit kronik iaitu saluran darah di bahagian hati pecah dan gagal berfungsi dengan baik sejak 2004.

“Isteri saya tidak mampu berjalan sendirian akibat penyakit kronik dialaminya, ditambah dengan pelbagai masalah termasuk kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Segala urusan harian isteri seperti mandi, makan dan minum akan dilakukan oleh Che Kiang yang sentiasa berada di sisinya.

Che Kiang berkata, peningkatan usia memberi kesan kepadanya untuk mencari rezeki lebih bagi menampung keperluan isterinya.

Namun begitu katanya, sedikit wang simpanan termasuk bantuan daripada Kerajaan Sarawak kini dijadikan sandaran untuk membiayai perubatan isterinya.

“Saya minta tolong… sekiranya dapat saya mahu minta bantuan kebajikan khususnya daripada kerajaan untuk kami berdua menampung hidup.

“Lebih bagus kalau ada bantuan untuk saya bawa isteri pergi buat pemeriksaan. Setiap bulan kami berdua akan ke Sri Aman untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan darah.

“Perbelanjaan ke Sri Aman hampir RM120 untuk sekali perjalanan termasuk rawatan.

“Apabila tiba waktu dia pergi periksa darah, saya mula mencari pengangkutan untuk disewa.

“Kalau bernasib baik ada kenderaan yang dapat ditumpang.

Selepas membuat rawatan kami berdua akan balik semula ke rumah,” katanya lagi.

Dia mengakui tidak lagi berniaga sejak dua tahun lalu, dan kini turut bergantung harap dengan anak lelakinya, Ji Chin Pang berusia 33 tahun di samping bantuan kerajaan.

“Terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi bantuan kebajikan kepada isteri saya serta Kad Emas Kenyalang yang diterima baru-baru ini,” katanya pilu.

Chin Pang berkata, gaji sebanyak RM1,150 sebulan sebagai pekerja di stesen minyak Petron di seberang rumah mereka digunakan untuk menampung sepenuhnya kebajikan kedua-dua ibu bapanya.

Selain itu jelasnya, bantuan kebajikan yang diperoleh oleh ibunya turut digunakan untuk membeli keperluan asas seperti barang dapur termasuk membayar bil elektrik dan air.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak