Jangan politikkan niat baik kerajaan

KUCHING: Pindaan Seksyen 3, Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Tempatan (2020) adalah untuk membawa pembangunan ke luar bandar dan menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang baik kepada masyarakat.

Justeru, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menegaskan dakwaan wakil rakyat pembangkang adalah tidak berasas apabila mengaitkan pindaan RUU tersebut dengan niat kerajaan untuk terlibat dalam perniagaan komersial ke atas tanah adat.

“Kerajaan tidak berniat untuk berbuat demikian seperti mana yang didakwa oleh pembangkang.

“Objektif utama pindaan ini untuk membenarkan Kerajaan Tempatan memperoleh dan menggunakan tanah adat bagi tujuan menjalankan tugas dan fungsi di bawah Ordinan seperti menjalankan dan melaksanakan apa sahaja kerja, projek dan skim di bawah Kerajaan Tempatan.

“Ini melibatkan taman awam, perpustakaan awam, pasar, pusat sukan, taman rekreasi atau kemudahan awam yang lain yang dibenarkan oleh Ordinan yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan tersebut dan rakyat Sarawak secara keseluruhan,’’ jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata niat baik kerajaan itu tidak seharusnya dijadikan bahan politik sesiapa sahaja termasuk pembangkang.

Katanya tumpuan utama khususnya Kerajaan Tempatan adalah untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan luar bandar dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2020 diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam meskipun mendapat bantahan daripada pembangkang.

Suara Sarawak