JKR kaji cadangan jalan alternatif dari Jalan Kilang ke Jalan Janting, Sarikei

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan menjalankan kajian mengenai cadangan jalan alternatif dari Jalan Kilang ke Jalan Janting di Sarikei untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata cadangan itu akan diusulkan kepada Kerajaan Sarawak untuk dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Projek yang dicadangkan itu juga melibatkan jalan raya standard U2 JKR dengan jarak satu kilometer.

“Kos yang dianggarkan untuk melaksanakan projek berkenaan adalah RM8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dalam sesi soal jawab, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18, hari ini.

Suara Sarawak