Kerajaan Sarawak komited perangi pembalakan haram

KUCHING: Sebanyak 64 kertas siasatan dibuka mengenai pembalakan haram setakat 15 Oktober lalu, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, daripada jumlah itu dua kes dikompaun, satu kes ditutup, satu kes masih dalam proses perbicaraan dan selebihnya masih dalam proses penilaian di pelbagai peringkat.

“Justeru, sebanyak 15,893 meter padu kayu balak telah dirampas dengan nilai royalti lebih kurang RM1.03 juta.

“Turut dirampas adalah 50 jentera dan mesin seperti lori, jengkaut dan jentolak,” katanya katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Persidangan DUN KE-18 di sini semalam

Tegas Awang Tengah, dalam tahun ini juga, sebanyak lapan kes terdahulu turut dibicarakan dengan dua kes daripadanya telah disabit kesalahan dan dikenakan penalti manakala enam kes lagi masih dalam proses perbicaraan.

“Kerajaan Sarawak komited membanteras pembalakan haram apabila pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk meningkatkan keupayaan dalam penggunaan teknologi terkini.

“Pada 4 November lalu, kita telah melancarkan Sarawak Aerial Detection Unit (SADU) di bawah Jabatan Hutan Sarawak yang menjadi pelopor dalam penggunaan teknologi hiperspektral di Malaysia bagi memantau kawasan hutan di samping mengesan kegiatan pembalakan haram di seluruh negeri Sarawak,” jelasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak