Ketua Menteri pandu bahtera Sarawak dengan baik

KOTA SAMARAHAN: Sarawak bertuah kerana mempunyai Ketua Menteri yang amat prihatin terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kita berasa amat bangga kerana mempunyai seorang juragan yang memandu negeri seperti ini malah begitu prihatin terhadap apa yang berlaku di dalam negeri.

“Kita mendoakan beliau diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus menjaga dan memimpin Sarawak,” katanya. Adun Asajaya itu berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bahagian Samarahan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini pada Selasa.

“Saya begitu kagum melihat Ketua Menteri yang mempunyai kekuatan untuk ke sana sini. Kadang-kadang di Belaga, semalam di Kuala Lumpur dan sebelum itu di Miri. Beliau berada di pelbagai tempat setiap hari,” ujarnya.

Terdahulu Abang Johari menghadiri mesyuarat penyelarasan untuk Bahagian Samarahan bagi mengenal pasti dan melihat perkembangan projek pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (UndangUndang, Hubungan PersekutuanNegeri dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang dan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos.

Suara Sarawak