Lapan teras strategik dirangka untuk mengemudi dan menghidupkan semula ekonomi negeri

KUCHING: Lapan teras strategik dalam Bajet Sarawak 2021 dirangka bertujuan untuk mengemudi dan menghidupkan semula ekonomi ke arah pemulihan dan kemampanan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, teras pembangunan strategik negeri dan hala tuju dirangka dengan mengambil kira strategi keluar ekonomi pasca Covid-19 yang berpandu kepada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Katanya, keutamaan pentadbiranya adalah untuk menyediakan pendapatan tambahan dan bantuan termasuk bahagian yang terdedah dalam masyarakat, mempercepatkan pembangunan di bandar dan luar bandar serta meningkatkan penyediaan infrastruktur dan utiliti.

Jelas Abang Johari, pendekatan ini akan membolehkan kerajaan membina masyarakat yang berdaya tahan, mengukuhkan keterangkuman sosial dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Tambahnya lagi, lapan teras strategik tersebut merangkumi pemulihan ekonomi, menjamin keselamatan rakyat, menjamin keselamatan makanan dan transformasi pengeluaran pertanian, memperkuatkan keselamatan sosial, kemajuan ekonomi digital, pembangunan modal insan, mempromosikan kemampanan alam sekitar dan memperluaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dengan mengambil kira ini, Bajet Sarawak 2021 akan terus menjadi belanjawan yang diperkembangkan yang bertujuan untuk meransang pertumbuhan ekonomi negeri yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19 sambil memastikan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi antara bandar dan luar bandar.

“Bajet ini akan menumpu kepada pada pembangunan, belanjawan tertumpu pada luar bandar, membuka jalan untuk pemulihan ekonomi dan meningkatkan kehidupan lestari,” katanya pada pembentangan Bajet Sarawak 2021 di Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Tambah Abang Johari, falsafah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah untuk meneruskan usaha untuk membangunkan negeri agar tiada yang akan ketinggalan.

Katanya, setiap rakyat Sarawak tidak kira di mana mereka berada, mereka harus menikmati hasil pembangunan dan itu adalah tanggungjawab pentadbirannya untuk mewujudkan persekitaran membolehkan rakyat kita berbuat demikian.

“Kami komited sepenuhnya untuk menjaga Sarawak dan melindungi Sarawak dari unsur tidak bertanggungjawab, jaga Sarawak. Intu Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak