Manfaatkan penundaan Sukan Paralimpik Johor untuk berlatih

KUCHING: Penundaan Sukan Paralimpik Johor yang sepatutnya dijadual pada Mac 2021 kepada 2022 harus dimanfaatkan oleh para atlet Sarawak untuk meningkatkan prestasi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata tempoh yang ada itu harus digunakan untuk menjalankan latihan secara konsisten.

“Peluang ini boleh juga digunakan oleh para atlet untuk bertanding dalam acara sukan di peringkat yang lebih tinggi bagi mendapat pendedahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Fatimah telah menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada 14 keluarga daripada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan.

Katanya sumbangan tersebut adalah untuk meringankan beban golongan berkenaan, yang amat terjejas kerana peluang pekerjaan mereka terhad disebabkan pandemik Covid-19.

“Pusat refleksologi telah diarah tutup buat sementara waktu dan mereka hanya bergantung dengan bantuan bulanan berjumlah RM400 sebulan,” katanya.

Justeru, Fatimah memohon orang awam agar bersama-sama memberi sumbangan kepada mereka yang terkesan ini.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak, Isak Ngau.

Suara Sarawak