Maut kemalangan motosikal, kereta

MUKAH: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang empat Jalan Tellian Permai sekitar jam 12.54 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Teh di sini bekerja sebagai mekanik patah kedua-dua kaki serta cedera di bahagian muka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Cina yang datang dari arah Jalan Tellian menuju ke Jalan Kampung Tellian Daya.

“Apabila tiba di simpang Tellian Permai, kereta tersebut didapati keluar dari simpang Jalan Tellian Laut lalu berlaku pelanggaran dengan motosikal yang ditunggang oleh mangsa yang dalam perjalanan balik ke Kampung Teh,” katanya.

Jimmy berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Mukah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk prosedur bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak