Mayat Bri Langer dijumpai

MUKAH: Lelaki warga emas yang cuba menyelamatkan jelatongnya yang hanyut di Kampung Medong Dalat semalam ditemui mati lemas hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa dijumpai pada jarak 100 meter dari lokasi dia dilaporkan tenggelam.

“Mangsa dijumpai oleh orang kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa dikenali sebagai Bri Langer, 77, dilaporkan cuba menyelamatkan jelatongnya yang hanyut semalam, sebelum tenggelam ke dalam sungai.

Mayat mangsa ditemui oleh orang kampung.

Kejadian berlaku berhampiran rumahnya sekitar jam 9.15 pagi ketika mangsa sedang membuka tali pengikat jelatong miliknya sebelum ia tiba-tiba hanyut dibawa arus ke hilir sungai.

Menurut Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chungat, mangsa cuba untuk mendapatkan jetinya yang hanyut dengan berenang ke arah jeti itu.

“Setelah gagal menarik jeti tersebut, mangsa cuba berenang berpatah balik ke tebingan namun terus tenggelam ke dalam sungai,” katanya.

Operasi SAR telah digerakkan melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) termasuk penduduk kampung.

Suara Sarawak