Orang luar tidak layak tadbir Sarawak

KUCHING: Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Sarawak 2020 yang diluluskan hari ini akan memberikan jaminan bahawa negeri ini akan ditadbir oleh anak Sarawak secara penuh.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, perkara tersebut akan menetapkan pendirian Sarawak bahawa calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 bukan dari luar.

“Ini kerana jika kita buka pencalonan kepada orang luar, ia akan mendatangkan banyak masalah kepada negeri ini dan keadaan akan kucar-kacir.

“Sebagai wakil rakyat yang mewakili rakyat pada PRN ini, tidak mudah untuk mereka masuk bertanding dan perkara ini penting kerana kita tidak mahu memilih wakil sesuka hati,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Dun di sini, semalam.

Tambahnya, pindaan RUU itu juga penting untuk memastikan perkara yang pernah berlaku di kawasan Pujut tidak berulang lagi.

“Kita juga tidak mahu mana-mana ahli politik bertanding di mana-mana kawasan di negeri ini seperti yang berlaku di Semenanjung.

“Saya berasa untuk mempertahankan hak kita, wakil rakyat perlu terdiri daripada orang Sarawak kerana ia penting untuk memperkuatkan jenama Sarawa sendiri,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Henry memberitahu subetnik di Sarawak diwakili oleh wakil rakyat masing-masing jika peluang memerintah diberikan kepada orang luar, ia akan mencetus masalah.

“Kita sudah melihat orang luar memerintah kita. Mereka tidak peduli kebajikan dengan tidak memberikan bantuan, projek dibatalkan dan mementingkan tentang undian,” katanya.

Suara Sarawak