Pantau penerima tercicir

DARO: Seramai 87 penduduk kampung termasuk dari kawasan rumah panjang menerima manfaat pelaksanaan Fasa Ketiga Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dun Daro.

Secara keseluruhan jumlah peserta dari fasa pertama sehingga fasa ketiga melibatkan 283 penerima. Adun Daro Safiee Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memantau bagi memastikan tiada golongan penerima yang layak tercicir.

“Dengan adanya bantuan ini ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan penerima untuk membaik pulih rumah mereka. “Pastinya keadaan ini akan menyelesakan mereka untuk mendiami rumah ini setelah dibaik pulih,” katanya.

TURUN PADANG… Safiee Ahmad melawat beberapa buah rumah yang telah disiapkan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) – Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dun Daro.

Beliau berkata demikian dalam lawatannya ke beberapa buah rumah yang telah dibaik pulih di bawah projek Projek Kecil Luar Bandar (MRP)-Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dun Daro untuk fasa ketiga pada Rabu.

Katanya, lawatan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri hasil kerja melibatkan projek membaik pulih rumah bagi peserta MRP-PPRMS di kawasan Daro.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada semua penerima bantuan projek berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut semua penerima melahirkan rasa syukur atas bantuan tersebut kerana sebelum ini kebanyakan rumah mereka bocor dan dimasuki air setiap kali hujan.

Antara kawasan kampung yang terlibat ialah Kampung Tengah, Kampung Lemang Pek, Kampung Badong, Kampung Masjid Hilir dan Kampung Baru.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak