Pendapatan Sarawak dianggar mencecah RM10.012 bilion pada 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak menganggarkan memperoleh pendapatan mencecah RM10.012 bilion pada 2021, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM4.742 bilion atau 47 peratus adalah daripada hasil cukai, RM4.994 bilion atau 50 peratus untuk hasil bukan cukai dan sekitar RM16 million untuk resit bukan hasil.

“Daripada RM4.742 bilion hasil cukai, dianggarkan RM3.687 bilion diperoleh daripada Cukai Jualan Negeri (SST).

“Ini termasuk RM3.034 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, RM505 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak inti sawit mentah, RM80 juta daripada loteri, RM58 juta daripada produk aluminium, sementara selebihnya RM10 juta daripada tayar.

“Selain itu, RM600 juta diperoleh daripada royalti air mentah, anggaran RM183 juta daripada royalti perhutanan, RM144 juta daripada premium kayu serta RM128 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, bagi RM4.994 bilion Hasil Bukan Cukai pula, dianggarkan RM1.883 bilion diperoleh daripada pampasan tunai 5 peratus sebagai ganti hak atau royalti minyak dan gas ke atas minyak dan gas.

“Manakala, RM1.8 bilion diperoleh daripada pendapatan dividen, RM822 juta pendapatan faedah; RM250 juta daripada premium tanah, RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti import dan duti eksais ke atas produk petroleum dan RM119 juta daripada hasil lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan penyewaan.

“Sementara itu, untuk Resit Bukan Hasil yang dianggarkan berjumlah RM16 juta, hasil ini diperoleh daripada kerosakan dilikuidasi hutan, pelupusan aset dan kompaun hutan serta Geran Persekutuan dan bayaran balik yang dianggarkan berjumlah RM260 juta,” jelas beliau lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak