Peruntukan besar untuk Sarawak

MIRI: Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat ini diharap memberikan peruntukan lebih besar kepada Sarawak.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, Belanjawan 2021 itu kemungkinan lebih fokus ke arah memerangi pandemik Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.

“Harapan kita ialah Sarawak mendapat peruntukan lebih besar berbanding tahun sebelumnya bagi merancakkan lagi pembangunan di negeri ini khasnya luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Berambeh@RTM di sini semalam.

Rosey mengakui selama ini, pembangunan Sarawak agak jauh ketinggalan dan Belanjawan 2021 diharap dapat menyeimbangkan pembangunan.

“Inilah harapan rakyat Sarawak secara keseluruhannya di bawah kerajaan baharu yang mahukan peruntukan diagihkan sama rata,” jelasnya.

Mengulas mengenai program itu, Adun Bekenu itu berkata, meskipun rakyat masih berdepan dengan pandemik Covid-19, namun aktiviti bermanfaat dapat dilaksanakan secara dalam talian.

“Kita melihat acara yang dibuat secara dalam talian oleh RTM Miri seperti bermukun berjaya mengumpul sekitar 2,000 penonton.

“Berbanding perhimpunan ramai dan ruang yang terhad dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), aktiviti juga boleh dibuat tanpa kehadiran penonton,” katanya.

Malah Rosey berharap RTM dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Program anjuran RTM bukan hanya dapat mempromosi kawasan pelancongan tetapi paling penting menyantuni masyarakat luar bandar selain menjadi medium menyebar informasi bermanfaat,” ujarnya.

Rosey turut mengumumkan geran RM5,000 masing-masing kepada RTM dan Saberkas untuk mengadakan aktiviti.

Turut hadir ialah Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak, Abdul Hadi Mohd Yusuf dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sarkawi Suhaili dan Pengurus Stesen RTM Miri, Lyidia Paya Rinyud.

Suara Sarawak