PKPB: Keputusan longgarkan SOP untuk bantu rakyat teruskan kehidupan

KOTA KINABALU: Keputusan melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah adalah bagi memberi kelegaan kepada rakyat dalam meneruskan kehidupan harian, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kita telah longgarkan beberapa syarat SOP semasa pelaksanaan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini… kelonggaran ini dibuat kerana kita cuba mengimbangi kesan pendemik ini dengan kehidupan rakyat.

“Pada fasa pertama PKPB, kita mendapat maklumat balas bahawa sebahagian rakyat dapat bertahan kerana ada simpanan tunai yang boleh menampung kos perniagaan yang telah ditutup… namun pada fasa kedua, banyak yang telah kehabisan simpanan dan mereka perlu membuka peniagaan untuk terus bertahan.

“Kerajaan telah mengambil kira faktor-faktor penting ketika meluluskan sedikit kelonggaran dalam pelaksanaan SOP seperti kebenaran makan dan minum di restoran,” katanya yang juga jurucakap rasmi berkaitan COVID-19 bagi Sabah pada sidang media laporan harian COVID-19 di sini malam tadi.

Bagi mengelak penularan pandemik itu, pemilik premis perlu menitikberatkan pelaksanaan SOP dan pihak berkuasa akan memantau kesemua premis terbabit.

“Namun jika angka kes positif COVID-19 kembali meningkat, maka kerajaan akan melaksanakan semula peraturan-peraturan yang telah dilaksanakan sebelum ini,” kata Menteri Kewangan II Sabah itu.

Semalam, Kerajaan Negeri Sabah telah melonggarkan sedikit SOP semasa pelaksanaan PKPB di negeri itu, antaranya memutuskan supaya semua premis perniagaan makanan dibenarkan beroperasi untuk aktiviti ‘dine-in’ atau makan dalam kawasan premis.

Sabah hari ini mencatat 259 kes positif COVID-19 yang menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 21,448 kes.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak