PKPD di Kampung Haji Baki dilanjutkan seminggu lagi

KUCHING: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Kampung Haji Baki dilanjutkan seminggu lagi dari 11 hingga 17 November ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berdasarkan penilaian ke atas kesemua 3,264 orang penduduk di Kampung Haji Baki.

Menurutnya, kesemua penduduk telah disaring pada saringan pertama dan mendapati 31 adalah positif termasuk dengan kes indek.

Manakala, katanya sebanyak 2,872 sampel yang diambil pada saringan kali kedua bermula pada 4 hingga 9 November dan mendapati dua daripadanya adalah positif Covid-19.

Uggah yang juga pengerusi JPBN Sarawak menambah sebanyak 2,422 keputusan tersebut adalah negatif, sebanyak 448 sampel masih menunggu keputusan ujian makmal dan seramai 392 penduduk belum disaring untuk kali kedua.

“Oleh itu, JPBN bersetuju untuk melanjutkan seminggu lagi PKPD Kampung Haji Baki mulai 11 hingga 17 November,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagi PKPD Daerah Kuching yang memasuki hari kedua, Uggah berkata seramai 171 kekuatan anggota yang terlibat dalam sepuluh sekatan jalan raya yang terdiri daripada PDRM (99), ATM (54) dan RELA (18).

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak