PKPD Kampung Haji Baki ditamatkan hari ini

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan untuk menamatkan tempoh Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki pada hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keputusan itu susulan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu di kawasan tersebut.

“Turut tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kampung Haji Baki.

“Dengan itu, JPBN ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung atas kerjasama menjayakan PKPD ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media laporan harian Covid-19 di DUN Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 9,539 jumlah kenderaan telah diperiksa semasa PKPB di daerah Kuching yang menjadikan jumlah kumulatif kenderaan diperiksa sebanyak 25,436, setakat hari ini.

Bagi pemantauan pematuhan PKPP, sebanyak 1,376 premis telah dipantau yang melibatkan seramai 572 anggota pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM, ATM dan lain-lain agensi.

Suara Sarawak