Praktik sepakat masyarakat

BINTULU: Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip mengajak masyarakat di kawasan Dun Jepak, khususnya Kuala Tatau meneruskan usaha mempertingkatkan kesepakatan dan pemuafakatan antara mereka agar keamanan dan keharmonian di kawasan mereka dapat dipertahankan.

Tegas beliau, ini kerana kesepakatan dan kerjasama semua masyarakat merupakan kunci keharmonian hidup yang dinikmati rakyat di negeri ini termasuk di kawasan Kuala Tatau.

Berucap pada program Sepakat@Komuniti 2020 ‘Bersama Hentikan Wabak Covid19’ bertempat di dewan Kampung Haji Ismail Kuala Tatau beliau berkata, dengan wujudnya elemen tersebut akan membawa kepada perkembangan dan kemajuan.

Pada masa yang sama, Adun Jepak itu turut mengingatkan warga setempat supaya tidak terpengaruh atau terikut- ikut dengan senario politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, mereka diminta supaya terus memberikan kerjasama kepada kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kesinambungan kemajuan sosioekonomi rakyat.

Beliau optimis jika masyarakat mempraktikkan prinsip bersatu padu seperti yang diamalkan kepemimpinan Kerajaan GPS, nescaya keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat akan terus dapat dikekalkan.

“Biarlah kita bersatu padu, bersepakat bagi menjamin kedamaian dan kemajuan kampung, tambahnya lagi.

Sekitar 50 orang merangkumi penduduk setempat menghadiri program anjuran Jabatan Penerangan Bahagian Bintulu itu. Penolong Pengarah Penerangan Sarawak Robin Junang hadir sama.

Suara Sarawak