Razaili bangkit isu NCR tidak selesai, bina BBP di Pusa

KUCHING: Penyelesaian isu berkaitan tanah NCR rakyat serta keperluan terhadap balai bomba dan penyelamat (BBP) di Pusa antara yang dipanjangkan oleh Adun Beting Maro Razaili Gapor untuk perhatian kerajaan.

Menurutnya, sejak 2006 tuntutan berkaitan tanah NCR rakyat masih belum menemui jalan penyelesaian.

“Saya bagi pihak peserta ladang rakyat di Dun Beting Maro memohon kerajaan meneliti tuntutan tanah NCR yang belum disukat atau diserahkan.

“Ini khususnya kepada mereka yang terlibat dengan projek ladang kelapa sawit Tabung Haji dan syarikat swasta milik Pelita,” katanya ketika menyokong Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu memohon kerajaan untuk menyediakan balai bomba dan penyelamat di Pusa.

“Itu antara keperluan yang diharapkan oleh rakyat ketika ini.

“Selain itu, kerajaan diharap mempertimbangkan perkara lain yang saya nampak penting seperti membina Kompleks Pentadbiran Daerah Pusa yang baharu, Anjung Usahawan di Pusa dan Beladin, Kompleks Sukan dan Padang Bola Sepak di Pusa, Pusat X-Ray di Klinik Kesihatan Beladin dan menaik taraf jalan perhubungan desa ke Kampung Batang Maro,” ujarnya.

Razaili dalam pada itu memohon kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air terawat di Kampung Batang Maro serta menaik taraf Loji Rawatan Air Pusa dan Beladin agar dapat menghasilkan 10 juta liter air sehari.

Suara Sarawak