Remaja maut motosikal langgar lori

MIRI: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di simpang Canada Hill View Avenue, Jalan Pujut Padang Kerbau, di sini.

Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata dalam kejadian dilaporkan sekitar jam 7.30 pagi hari ini, mangsa berusia 17 tahun dari Kampung Luak Bay itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian berlaku ketika lori terbabit yang datang dari arah Pujut Corner melalui Jalan Pujut Padang Kerbau sedang membelok ke kanan di simpang Canada Hill View Avenue lalu dilanggar oleh mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Manakala, katanya pemandu lori berusia 66 tahun terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya kes sedang dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak