RM1,800 sebulan untuk rawatan anak

KUCHING: Keperitan hidup sepasang suami isteri yang membesarkan seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) bertambah beban setelah anak mereka tidak menerima bantuan dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Itulah nasib sepasang suami isteri yang membesarkan seorang anak OKU dan juga pelatih PDK, Nuri Shafaraziah Abdullah, berusia lima tahun yang menghidapi Sindrom Hurler MPS Type One.

Ibu Nuri, Zaliah Ulis, 45, yang merupakan suri rumah berkata, bantuan bulanan yang kebiasaanya diterima dari PDK tidak diterima lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak bulan Mac lalu.

“Perkara ini telah memberi kegusaran kepada saya kerana per-belanjaan ubat untuk rawatan anak saya memerlukan kos yang sangat mahal.

“Bagi perbelanjaan untuk rawatan dan ubat-ubatan Nuri sangat mahal dan mencecah sehingga RM1,800 sebulan,” katanya kepada media.

Jelas ibu kepada lima orang anak tersebut, untuk membawa Nuri menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), dia terpaksa berulang-alik setiap minggu.

“Jika melihat kepada kos perbelanjaan untuk bergerak ke HUS, ia adalah sekitar RM50 kerana saya akan menumpang orang atau membayar tambang untuk ke Kuching.

“Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan permohonan saya untuk mendapatkan bantuan berterusan dari PDK agar ia dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bantuan bulanan yang diterima oleh pihak PDK sepatutnya diteruskan dan tidak wajar diberhentikan.

“Hal ini kerana, bantuan bulanan tersebut akan meringankan lagi beban keluarga kepada para pelatih PDK di kawasan Pantai Damai,” jelas beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dun Pantai Damai pada Isnin.

Beliau yang juga merangkap Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata, hasil lawatan ke PDK Buntal pada Julai lalu telah mendapati bahawa bantuan yang selalu diterima daripada Jabatan Kebajikan belum diterima oleh PDK ini.

Oleh itu, beliau akan membuat lawatan susulan mengenai perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya. Dalam pada itu, Abdul Rahman juga menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada keluarga Nuri.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak