RM20 juta untuk menaik taraf saluran air di Kota Samarahan

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah diperuntukkan kira-kira RM20 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf 17 kilometer saluran air yang ada di Kota Samarahan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Penguang Manggil berkata ia adalah sebahagian daripada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah banjir di Kota Samarahan.

“Oleh itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melakukan kajian Pelan Induk Saliran Dan Tebatan Banjir bagi Sungai Samarahan yang dijangka selesai pada akhir tahun untuk menangani masalah banjir yang sering berlaku di Kota Samarahan.

“Rancangan dari induk saliran tersebut akan membantu dalam mengenal pasti penyelesaian jangka panjang bagi banjir yang sering berlaku di kawasan Samarindah, Samarahan,”katanya dalam Persidangan di Dewan Undangan Sarawak (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud mengenai langkah jangka panjang oleh kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di Kota Samarahan termasuk Kampung Bukit Berangan dan kawasan Samarindah Samarahan.

Jelas Penguang, beliau turut menyatakan bahawa banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan di kawasan Kg Bukit Berangan dan Samarindah Samarahan adalah disebabkan oleh beberapa faktor.

“Faktor tersebut merangkumi hujan lebat, peningkatan urbanisasi, sistem perparitan yang tidak mencukupi seperti parit, parit jalan, longkang atau saluran pembetung utama dan sungai.

“Oleh itu, untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan tersebut, JPS telah menyertakan cadangan kerja tebatan banjir di laluan Lebuhraya Kuching-Samarahan dan di SK Muara Tuang, Samarahan di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak yang dijangka siap pada 2025 dengan anggaran kos sebanyak RM191 juta.

Dalam pada itu, Penguang berkata JPS dan MPKS akan terus komited dalam melaksanakan kerja pembersihan sungai dan saluran air di Sitigan River, Kg Bukit Berangan untuk mengelakkan banjir di kawasan perumahan.

Suara Sarawak