RM60.6 juta kutipan kompaun PKP di seluruh negara

KUCHING: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 4,655 tindakan diambil ke atas premis perniagaan melibatkan rampasan bernilai RM60.6 juta.

Manakala sebanyak 3,418 kes dikompaun sepanjang tempoh berkenaan dengan kutipan berjumlah RM1.5 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin mengenai kesan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan PKP, PKPD dan PKPP terhadap harga runcit pada Sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Alexander berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac sehingga 3 November lalu, sebanyak 469,946 pemeriksaan dan pemantauan premis perniagaan dilaksanakan berkaitan bekalan dan harga di peringkat runcit, pemborong dan pengilang.

Selain itu, sebanyak 256,007 Pemeriksaan Khas Pematuhan Garis Panduan (SOP) semasa PKP di seluruh negara telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut. “Kementerian sentiasa memantau dan meneliti kesan penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP ke atas perubahan harga barangan dan perkhidmatan.

“Antara kesan negatif dikenal pasti ialah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran, gangguan terhadap rantaian pengedaran dan bekalan, gangguan terhadap keberadaan barangan keperluan, kebimbangan pengguna terhadap kecukupan keperluan barangan harian semasa PKP mencetuskan pembelian panik,” katanya.

Kementerian sentiasa proaktif meneliti perubahan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan aktaakta yang sedang berkuat kuasa.

“Sebanyak 4,378 notis dikeluarkan terhadap pengeluar, pemborong dan peruncit barangan termasuk pengusaha perkhidmatan di seluruh negara melalui penguatkuasaan Ops Catut 7.0,” jelasnya.

Tegasnya, usaha itu tidak berhenti malah akan meneruskan inisiatif pada masa akan datang bagi menangani masalah harga barangan serta melindungi pengguna.

Suara Sarawak