Rumah panjang terbakar di Ulu Baram: 25 keluarga hilang tempat tinggal

ULU BARAM: Seramai 25 keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka, Rumah Long Balau, di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata dalam kejadian kira- kira jam 12 tengah malam itu, kebanyakan penghuni sedang tidur.

Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah panjang itu, bagaimanapun, tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dan pegawai penyiasat bomba dari BBP Miri ke lokasi kejadian jam 10.30 pagi tadi bagi melakukan pemantauan serta pemeriksaan lanjut.

Kampung yang terletak berdekatan dengan kampung Long Seridan ini mengambil masa selama sembilan jam perjalanan menggunakan jalan darat.

Long Balau adalah sebuah rumah panjang kaum Penan di Ulu Baram dan di bawah pentadbiran Daerah Kecil Bario.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak