Satu kes positif Covid-19 dikesan di Kuching

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan satu kes positif Covid-19 di daerah Kuching setelah tiga hari berturut-turut tiada kes dilaporkan.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri James Jemut Masing berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,056 kes.

“Kes 1,056 merupakan seorang wanita warganegara tempatan yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid- 19 pada 23 November kerana mengalami batuk, demam, pening kepala dan hilang deria bau.

“Kes bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Bandaraya Kuching sebagai agen jualan peralatan komunikasi dan kes tidak mempunyai kontak secara langsung kepada mana-mana kes positif Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini,” jelasnya menerusi kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Malah katanya tiada kluster baharu dilaporkan namun masih terdapat enam kluster yang aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata terdapat 10 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini.

“Sebanyak lapan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak dan dua kes dari Hospital Miri.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 992 orang atau 93.94 peratus,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat hari ini juga terdapat empat 25 individu dalam siasatan (PUI) baru telah dilaporkan dan dua PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak